Sep 3, 2008

Salam Bersua



Salam segala salam...
Alhamdulillah,
buat sekian kalinya, saya berjaya menguji kehebatan teknologi dengan penghasilan blog yang serba kekurangan ini. Blog, boleh sahaja disinonimkan sebagai lidah kerana boleh membuatkan si pembaca menguntumkan senyuman malah menyusun sumpah seranah ketika mengeja satu persatu perkataan yang penuh dengan penceritaan tersendiri. Sebagai manusia kita jangan terlalu mendabik dada dengan ketertinggian teknologi maklumat(IT) seperti blog kerana blog juga boleh disama hebatkan seperti api yang apabila kecil, dijadikan pelengkap kehidupan..namun boleh mencabar etika kemanusiaan kelak. Jangan terdera dan tercedera dek blog.
Di sini, saya ingin membawa pembaca untuk menjamah sedikit pengalaman saya ketika berbuka puasa semalam. Tidak banyak yang ingin saya lemparkan tetapi ceritera berbuka puasa pada hari ketiga tersebut agak padat dengan persoalan emosi. Entah di mana salah silap insan lain mahupun persekitaran terdekat, jiwa saya tiba-tiba terkesan dengan emosi yang menghukum kedamaian semalam. Saya mendiamkan diri dan tidak ada satu perkataan pun yang tergeluncur keluar daripada daerah mulut saya sepanjang saya membeli juadah berbuka puasa sehingga la tiba waktu berbuka puasa. Saya pasti mereka yang berada di sekitar saya tertanya-tanya mengapa saya berkelakuan sedemikian. Namun, mereka sengaja dan berpura-pura tidak perasan dengan perubahan saya apatah lagi memberanikan diri menanya saya kerana mereka sudah terbiasa dengan peraturan abstrak saya "tidak akan menegur saya sekiranya saya sedang beremosi". Tidak berakhir pada ketika itu, perasaan marah saya berlarutan sehingga saya memilih tidak mahu bersahur apabila tiba waktunya. Sepanjang saya memasuki zon emosi tersebut, saya selesa untuk bermonolog dengan diri sendiri kerana saya merasakan bahawa berdiam diri adalah lebih baik ketika marah daripada saya mengamuk tidak tentu pasal.