Sep 20, 2008

Semalam dan hari ini seperti selalunya

Esok nak balik jb





Esok sekali lagi saya akan bercuti
kali ni cuti panjang sikit
cuti untuk melepaskan kerinduan pada kemeriahan JB dan penghuni-penghuni sanggar JB yang mengenali saya.
Tak sabar rasanya bangkit seawal subuh untuk bersahur bersama dengan keluarga tercinta..dan tak sabar rasanya untuk sekali lagi menanti..kali ni menunggu kunjungnya waktu berbuka puasa..hahaha..pasti meriah kalau berbuka beramai-ramai dan selalunya tiada sikit makanan pun yang berbaki .
Tapi,seperti biasanya saya boleh jangkakan keadaan jalan raya menjadi maha sesak . sesesak nafas saya bila mana saya berada di Pudu Raya untuk membeli tiket bas. Tapi itu tidak lagi menjadi satu-satu perkara yang membuntukan kepala saya sebabnnya yang penting saya akan menjejakkan semula kaki di JB.
Erm....JB memang bandar yang mahal dan sesak.Tapi tidak mengapa sebabnya saya dah terbiasa hidup di JB. Biar sesak asalkan meriah.Biar mahal asalkan saya tidak hidup merempat di negeri sendiri.
Dan esok, saya bakal bertolak pasa pukul 12.30pm dengan menaiki bas Transnasional di Bukit Jalil.
Pada kawan-kawan dan para pensyarah atau sesiapa jua pun,saya setulusnya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin dan.....kita jangan terlupa untuk menghabiskan saki-baki Ramadahan.
Bertemu nanti lagi...

Sep 18, 2008

Renung seketika,.,.,.,.,.,.


"Tak perlu mencari Teman secantik BalQis, andai diri tak sehebat Sulaiman. Mengapa mengharapkan teman setampan Yusof, jika kasih tak setulus Zulaikha. Tak perlu mengharapkan teman seteguh Ibrahim, andai diri tak sekuat Siti Hajar... Terimalah kekurangan itu sebagai keunikan, carilah kebaikan pada dirinya.. bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan agar dia kan terus menjadi milikmu....."

Sep 15, 2008

Dua Majlis Berbuka Puasa



Salam Ramadhan buat sekian kalinya.....
Saya punya kisah yang mahu dikongsikan dalam ruangan kali ini.Kisah majlis berbuka puasa FSSK
di Dewan Gemilang dan seperkara lagi,
majlis berbuka puasa pelajar IPT di Putrajaya.
Pada majlis berbuka puasa FSSK, saya bertindak sebagai Pengarah Program. Tak dapat dinafikan keletihan yang terpaksa saya pikul sebelum menjelangnya majlis tersebut. Naluri saya rindukan waktu-waktu senggang dan tilam yang bisa menampung segala kepenatan yang tak bisa diukur oleh pengamatan mata insan lain. Amat meriah dan terlalu seronok walaupun majlis tersebut disejarahkan dalam keadaan serba sederhana. Demikianlah pemerian pendapat telus lagi jujur daripada saya. Bukankah Islam juga turut menggalakkan kesederhanaan? Sehari sebelum berlansungnya majlis, saya terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi. walaupun sudah lali dengan kesibukan program sebelum ini,namun saya ternyata tidak bisa sembunyikan kepenatan dan rasa mengantuk yang seharusnya disertai dengan tidur lena secepat mungkin
************************
Keesokannya....Saya terpilih untuk menghadiri satu lagi majlis berbuka puasa. Kali ini bersama dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Pesertanya pula terdiri daripada mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Kelang: UPM,UiTM,UM,USIM,UKM dan banyak lagi...Pendek kata, dewan PICC memang bergema dengan suara hingar-bingar mahasiswa yang sesak. Panorama dewan yang agak eksklusif dan meriah memang gagal merimaskan saya. Malah, saya begitu teruja untuk mengabadikan beberapa gambar bersama temana-teman lain. Dewan PICC turut digelar dengan syurga makanan kerana melimpah-limpah dengan rezeki yng ternyata mengenyangkan setiap perut insan yang berlegar-legar di dalamnya. Rata-rata setiap insan ketika itu tidak mahu mengalah dengan pakaian masing-masing. Seolah-olah malam tersebut merupakan satu malam penganugerahan dan malam apresiasi untuk pereka fesyen. Kemudian, saya bersama-sama rakan lain meramahkan diri berkenalan dengan peserta dari varsiti lain. Ternyata sikap peramah kami yang bertempat tidak dipandang sepi oleh mereka: keperamahan kami disahut dengan mesra. Sebaik sahaja majlis tersebut dicanangkan selesai, kami segera berlari-lari kecil untuk menaiki bas UKM. Sekali lagi, keadaan dalam bas agak hingar-bingar...Dan, saya menjalankan tugas memastikan pelajar dalam bas tersebut mencukupi sebelum bas meninggalkan PICC yang pernah merakamkan memori berbuka puasa terindah dalam hidup saya. Semasa dalam bas, saya memilih untuk berdiri supaya saja dapat memberi peluang kepada rakan-rakan lain untuk duduk. kami menceriakan bas tersebut dengan gelak ketawa sehingga dapat menenggelamkan suara radio: tiada tempat untuk kesunyian dan kebosanan tika itu.






Sep 10, 2008

Peresembahan buat sahabatku





Bunga raya kelopaknya merah,
dahan menyingsing panjang sejengkal,
sejak purnama bersinar cerah;
anjing dan kucing tidur sebantal.

Memori lama menduga lagi. Andai kita melayari tiap-tiap kenangan yang menceritakan tentang sahabat, maka kita akan segera menginginkan kembali saat-saat canda tawa yang pernah terpasak kemas di benak kita. Berbicara tentang sahabat, ingin saya suburkan kembali kenangan berteman dengan Rokiah, sahabat yang selalu sabar dengan persisiran kerenah saya dan tahan dengan nanah-nanah fitnah orang lain. Semuanya kerana ingin mendekatiku atas dasar pelajaran.. Kenangan bersamanya lebih indah berbanding Taj Mahal malah kenangan bersamanya tidak pernah didokumentasikan di atas mana-mana warkah. Hubungan ini diharap terikat sampai mati namun siapalah saya ingin mengubah setiap butir-bitir takdir Allah yang tersulam kekal sejak azali. Entah di mana Rokiah sekarang...Saya rindu ingin memujuknya acap kali dia menangis minta dimengerti beban yang melingkar laju di sanubarinya.saya masih mencari kata-kata yang sepadan untuk mewakili persahabatan ini.


Kita renung-renungkan...

"Teman tu bukan macam papan ski, belum main digilap, dah main dipijak. Teman tu bukan macam bola sepak, belum dapat dikejar, dah dapat ditendang. Teman tu bukan macam bulu tangkis, belum main dipegang, dah main dipukul. Tapi teman tu macam ragbi, belum dapt direbut, dah dapat dilindungi. Teman tu macam jari, bila luka ia sembuh, bila hilang tiada gantinya..."










Sep 9, 2008

Nukilan sajak saya yang terkini




Suara Keinsafan Mendamba Syurga





Terjangkau usia sebegini
kankucurahkan segalanya…

Suara impian tergelincir
di danau kemusnahan
setelah lelah memencil
di belukar keazaman
kelekaan menciptakan rimba igauan
merangkul kembali kisah penghinaan
berendam tangisan memuja nostalgia

sekurun dosa dan selingkar nafsu
begitu pantas bersenyawa...
Merasa nikmat belaian kemugkaran
lalu mendabik dosa dan noda
yang bertanda disanubariku
bagai selamanya mendajalkan hidup...
Realiti kehancuran impian
mudah dimenangkan kala itu
haruman rahmat sukar didampingi
terkurung diri di sangkar kegelisahan
selamanya gelita dengan sesalan.

Masih ada gemerlap salju hidayah
menjunam megah di lubuk harapan
lalu kutegakkan nisan kemaafan
kucuba bolosi pintu keampunan
seraya air mata gagah merangkak
di pipi keinsafan.

Kembara terakhir ini
kembara meraih keredhaan abadi
walau bimbang dosa semalam
memamah bahagia mendatang.
Mendamba syurga di kala nostalgia
terus menghukum masa depanku.

Puisi keinsafan ini tak kuduga
bisa menciptakan pepohon penyesalan
lalu menjelmakan haruman keimanan
dan kesempurnaan yang menjanjikan
pentas syurgawi nan gemilang.


Sajak oh sajak..Hanyut dalam dunia penulisan sajak, memberi saya motivasi untuk terus mengasah bakat..Memori yang penuh dengan warna-warni. Kilauannya memancar mengukir kejayaan baik di peringkat sekolah,daerah,negeri mahupun kebangsaan walaupun saya tidak pernah menerima pelajaran formal tentang bagaimana mencipta sebuah sajak. Semuanya telus datang daripada diri sendiri. Sempurna atau cacatnya sajak saya memang tidak terlepas daripada mencerminkan diri saya. Demikianlah antara kejayaan peribadi saya.
Sekarang, saya masih dalam proses menyiapkan sebuah sajak yang ke-40 ke atas....
Bagi saya,setiap karya saya merupakan harta yang amat bernilai..Lebih bernilai daripada villa-villa bangsawan mahupun astana seorang ratu yang menghiasi buana ini.

Sep 4, 2008

Semunya fasal kajang












Kembali bersua..
Semalam saya berkesempatan "meneroka" seketika pekan Kajang . Tapi sebelum tu, saya terlebih dahulu meminta kawan saya menghantar saya dari PPBL,UKM ke Hentian Kajang(lewat jam 6.00 petang). Di sana, hanya satu yang saya pinta....moga-moga ada bas yang lalu-lalang dalam kesesakan orang ramai membeli juadah di bazar Ramadhan. Agak lama saya menanti kemunculan basa Rapid KL mahupun bas mini...Selayaknya bas disamakan seperti seorang artis yang ternyata dinanti-nanti oleh ribuan peminat setia. Kita lupakan seketika tentang bas.. Dalam penantian hampir 45 minit, ramai juga kenalan dari UKM yang bertukar-tukar salam seraya berjabat tangan . Ketika ini langit menukar kulit tubuhnya...Warna-warna senja menyelimuti permukaan langit. Harmoninya warna-warna itu mungkinkah melambangkan perpaduan teras kejayaan? Keinginan nekad saya menjejakkan kaki ke kajang membataskan diri saya untuk mengeluh menanti bas yang entah bila sampainya. Oppppsss....berbalik semula menjengah kisah penantian bas sebentar tadi..Dalam penantian yang menorbankan masa,tiba-tiba kelihatan bas mini meluncur laju bagaikan seluruh jalan di sekitar sana milik pemandu tersebut.Memang laju...Terlalu sesak dengan penumpang dan mungkin atas dasar itulah bas itu mendapat jolokan basa sardin.Urmm...Mana tidaknya,bas tersebut membawa terlalu ramai manusia..mungkin juga ada rupa persis 50 jenazah yang berkongsi sebuah pusara..Hahaha...Saya redha,saya bersaing dengan ramai juga manusia yang pelbagai rupa dan bau semata-mata ingin merasa satu nikmat kekayaan:seolah-olah orang kaya yang memiliki pemandu sendiri(sedangkan hanya sebuah bas awam). Saya sekali lagi berfantasi..Bukankah tiada bayaran mahupun caj tersembunyi dikenakan jika kita berangan?
Bas mini membawa saya meninggalkan Hentian Kajang, sehingga pandangan mata saya tidak lagi melihat gelagat insan-insan yang tenat menantikan kunjungan waktu berbuka puasa.
Sesampainya di pekan Kajang,saya memasang langkah mencari kedai MAXIS untuk membayar bil telefon bimbit usang saya. Kemudian, langkah saya memanjang seraya mata melilau ke sana sini mencari restoran Melayu untuk membeli makanan berbuka puasa. Begitu terkejut dengan harga yang patut saya bayar untuk sepinggan nasi yang lauknya terlalu sedikit dan biasa berserta secawan milo ais. RM 6.00!!!!! Bukan kerana mahal,namun persoalan yang lebih penting adakah harga tersebut berbaloi?Tidak...Tidak...Tidak....Tidak sama sekali!!!! Tika itu,selera saya terus menjunam. Bagaikan ingin diluah semula segala makanan yang telah saya jamah..Apa yang bersangkut kala itu adalah bersumpah jangankan mengunjungi restoran tersebut

Sekian dahulu,

"Wish all of you a blessed Ramadhan.Happy fasting and may the Holy month bring us good health, peace and happiness".

Sep 3, 2008

Salam Bersua



Salam segala salam...
Alhamdulillah,
buat sekian kalinya, saya berjaya menguji kehebatan teknologi dengan penghasilan blog yang serba kekurangan ini. Blog, boleh sahaja disinonimkan sebagai lidah kerana boleh membuatkan si pembaca menguntumkan senyuman malah menyusun sumpah seranah ketika mengeja satu persatu perkataan yang penuh dengan penceritaan tersendiri. Sebagai manusia kita jangan terlalu mendabik dada dengan ketertinggian teknologi maklumat(IT) seperti blog kerana blog juga boleh disama hebatkan seperti api yang apabila kecil, dijadikan pelengkap kehidupan..namun boleh mencabar etika kemanusiaan kelak. Jangan terdera dan tercedera dek blog.
Di sini, saya ingin membawa pembaca untuk menjamah sedikit pengalaman saya ketika berbuka puasa semalam. Tidak banyak yang ingin saya lemparkan tetapi ceritera berbuka puasa pada hari ketiga tersebut agak padat dengan persoalan emosi. Entah di mana salah silap insan lain mahupun persekitaran terdekat, jiwa saya tiba-tiba terkesan dengan emosi yang menghukum kedamaian semalam. Saya mendiamkan diri dan tidak ada satu perkataan pun yang tergeluncur keluar daripada daerah mulut saya sepanjang saya membeli juadah berbuka puasa sehingga la tiba waktu berbuka puasa. Saya pasti mereka yang berada di sekitar saya tertanya-tanya mengapa saya berkelakuan sedemikian. Namun, mereka sengaja dan berpura-pura tidak perasan dengan perubahan saya apatah lagi memberanikan diri menanya saya kerana mereka sudah terbiasa dengan peraturan abstrak saya "tidak akan menegur saya sekiranya saya sedang beremosi". Tidak berakhir pada ketika itu, perasaan marah saya berlarutan sehingga saya memilih tidak mahu bersahur apabila tiba waktunya. Sepanjang saya memasuki zon emosi tersebut, saya selesa untuk bermonolog dengan diri sendiri kerana saya merasakan bahawa berdiam diri adalah lebih baik ketika marah daripada saya mengamuk tidak tentu pasal.